Lady Gaga luahkan masalah anoreksia
29 Sep Sekali lagi, nama Lady Gaga menjadi bualan ramai bukan kerana rambut palsunya, kasut ataupun kostum yang pelik, tetapi gambar terbaru beliau di laman Littlemonsters.com yang berpakaian dalam berwarna kuning disertai dengan kapsyen "Anoreksia dan bulimia semenjak saya 15 tahun".
Dalam sekelip mata sahaja, laman Littlemonsters bertukar menjadi sebuah forum awam yang membincangkan masalah pemakanan, kecederaan diri dan semua jenis masalah keyakinan diri yang melibatkan rasa benci terhadap diri sendiri.
Berikutan dengan kritikan ramai atas berat badannya yang kian meningkat naik, Gaga mula melancarkan sebuah gerakan bernama Body Revolution 2013 sebagai cara untuk memberi inspirasi kepada peminat yang kurang keyakinan diri dan sering dibuli disebabkan paras rupa dan bentuk fizikal.
Menurut Gaga, gerakan tersebut diilhamkan oleh Born This Way Foundation iaitu sebuah organisasi yang ditubuhkan oleh beliau dan ibunya sendiri sebagai cara untuk mengatasi masalah buli dan meraikan keunikan setiap individu.
Tidak lama sebelum melancarkan initiatif tersebut, Gaga membuahkan penghargaan kepada peminat yang dikatakan sumber inspirasi bagi Body Revolution 2013.
Beliau turut mendedahkan masalah aneroksia dan bulimia yang sudah lama dihadapi semenjak beliau berumur 15 tahun lagi dan mengakui bahawa beliau kini lebih gembira dengan bentuk badan yang dimiliki.