Lady Gaga bintangi filem dokumentari

30 Dis Seringkali mendapat perhatian dengan gaya esentrik dan unik dan bakat dalam menyanyi, Lady Gaga kini bakal bergelar seorang pelakon apabila dia bakal membintangi filem dokumentarinya sendiri.

Dipetik dari Daily Mail, pelantun lagu "Bad Romance" ini bakal bekerjasama dengan jurugambar terkenal, Terry Richardson untuk memberi gambaran tentang kehidupan dirinya kepada Little Monsters yang merupakan jolokan nama buat peminat setianya.

Richardson yang diberi tanggungjawab sebagai pengarah filem tersebut akan turut menyelit pembikinan album terbaru Gaga, "Artpop".

Gaga mengumumkan berita ini kepada pengikutnya di Twitter.

"Selamat Hari Krismas, little monsters! Terry Richardson akan menghasilkan #LadyGagaMOVIE yang mengisahkan hidup saya, penghasilan album terbaru ARTPOP dan anda!

"Terima kasih kerana sabar menanti kemunculan album terbaru ARTPOP. Saya harap anda akan teruja menantikannya. Saya sayangkan anda semua sepenuh hati saya!"

Sebelum ini Richardson dan Gaga pernah bekerjasama dalam menghasilkan buku fotografi, "Lady Gaga x Terry Richardson".

Judul dan juga tarikh filem dokumentari ini akan diriliskan masih belum diketahui. Namun album "Artpop" dijangka akan diriliskan sekitar musim bunga 2013.