Lady Gaga saman syarikat insurans

11 Mac Disebabkan oleh ancaman keganasan yang dibuat oleh Front Pembela Islam (FPI) pada tahun lepas, konsert Lady Gaga yang sepatutnya berlangsung di Jakarta pada 3 Jun 2012 terpaksa dibatalkan, mengakibatkan kerugian besar kepada penyanyi berumur 26 tahun itu.

Menurut The Hollywood Reporter, pihak penganjur konsert Lady Gaga, Live Nation LG Tours kini menuntut ganti rugi yang berjumlah sekurang-kurangnya AS $75, 000 (RM233, 250) dari Lloyd's of London, iaitu syarikat insurans bagi konsert tersebut.

Dalam saman yang difailkan kepada mahkamah, syarikat insurans yang berasal dari London itu dituduh telah melanggar 'Polisi Keganasan'. Polisi tersebut melayakkan mana-mana pihak yang mengalami kerugian akibat dari konsert yang dibatalkan atas sebab kesan keganasan dan / atau sebarang ancaman yang berlaku berkaitan dengan keganasan berhak menuntut semula ganti rugi.

Semasa insiden yang berlaku pada tahun lepas itu, The Jakarta Globe melaporkan bahawa pihak FPI bersedia untuk menghantar seramai 30,000 orang ahlinya untuk menahan Lady Gaga dari memasuki Jakarta. Rancangan Gaga, atau nama sebenarnya Stefani Germanotta untuk membuat persembahan di Jakarta telah mencetuskan kontroversi di kalangan pihak tertentu disebabkan oleh gaya pakaiannya yang dilihat sebagai tidak sesuai dengan budaya di negara Indonesia yang kebanyakan penduduknya beragama Islam.